--> Skip to main content

Mahu penyelesaian terbaik

PEMILIK kedai ikan hiasan, M Naveen Kumar mahukan penyelesaian terbaik bagi pihaknya serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung isu bekalan elektrik di premis miliknya di Petaling Jaya yang dipotong, kelmarin.

Naveen, 40, berkata, dia sudah bertemu dengan dua wakil daripada TNB membabitkan pegawai khidmat pelanggan serta pegawai bahagian teknikal kira-kira 3 petang tadi.

"Dalam perjumpaan yang berlangsung selama satu jam itu, kami lebih banyak berbincang mengenai perkara berkenaan mengikut kaedah perundangan memandangkan saya sudah melantik peguam bagi menyelesaikan isu ini.

"Perbincangan lanjut berhubung perkara ini akan diteruskan dan saya harap isu berkenaan akan selesai dengan memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dia berkata, kedai ikan hiasan yang diusahakannya sejak dua tahun lalu sudah beroperasi semula sejak semalam.

"Ada banyak kerja pembersihan yang perlu dilakukan sebelum memulakan perniagaan termasuk membersihkan akuarium dan mengalihkan ikan mati.

"Sebaik kerja-kerja pembersihan selesai, saya terus membuka perniagaan seperti biasa bermula semalam memandangkan bekalan elektrik yang dipotong sudah disambung semula, kelmarin iaitu beberapa jam selepas kejadian itu," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan pihak TNB akan bertemu Naveen berhubung kesilapan pemotongan bekalan elektrik di premis miliknya, kelmarin.

Terdahulu, portal myMetro melaporkan, polis mengesahkan menerima laporan daripada peniaga kedai ikan hiasan yang mendakwa bekalan elektrik di premisnya dipotong pihak berkuasa menyebabkan menanggung kerugian besar.

Pemotongan itu dilakukan pagi kelmarin dalam satu operasi dijalankan polis daerah Petaling Jaya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dan TNB bagi mengekang aktiviti perjudian.

Berita berkaitan• Kedai saya bukan premis judi

• TNB akan jumpa pemilik

• TNB tersilap membuat pemotongan - Polis