--> Skip to main content

Lubnan berdepan perang saudara jika tidak dibantu - Macron

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Jumaat memberi amaran Lubnan berdepan risiko perang saudara jika dibiarkan bersendirian menangani krisis susulan letupan besar di pelabuhan Beirut awal bulan ini.

Pandangan itu disuarakan ketika Macron melakukan persiapan mengunjungi Lubnan pada Isnin dalam usaha memberi tekanan kepada pemimpin negara itu untuk melakukan reformasi radikal susulan letupan yang mengorbankan 181 orang dengan ratusan lagi cedera.

Paris dilihat tidak senang dengan perkembangan di Lubnan yang disifatkan perlahan dalam membentuk kerajaan baharu bagi melakukan reformasi selepas berlaku ledakan yang didakwa berpunca daripada simpanan ammonium nitrat yang ditinggalkan selama bertahun-tahun di sebuah gudang.

Rakyat Lubnan menyalahkan pemerintah dalam kejadian itu yang didakwa mereka terbabit dalam nepotisme, rasuah dan pengabaian sejak perang saudara bermula 1975 hingga 1990.

Macron menegaskan Perancis akan mematuhi dasar 'menuntut tanpa campur tangan' dan menunggu reformasi dilakukan termasuk meluluskan undang-undang antirasuah dan mereformasikan kontrak awam, sektor tenaga dan sistem perbankan.

"Jika kita tidak melakukan ini, ekonomi Lubnan akan runtuh dan yang menjadi mangsa adalah rakyat Lubnan," katanya. - AFP