--> Skip to main content

Lima parti bergabung edar 3,000 Jalur Gemilang

KLUANG: UMNO, PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), MIC dan MCA Kluang bergabung tenaga mengedarkan 3,000 Jalur Gemilang kepada orang ramai yang melalui Jalan Rambutan dan Jalan Datuk Teoh Siew Khor dekat sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, berkata jalinan kerjasama itu bagi menyatakan kesetiaan kepada negara sempena Hari Kemerdekaan ke-63 tahun ini.

Katanya, program itu juga secara tidak langsung menggambarkan bahawa semangat perpaduan pelbagai bangsa dan agama di Kluang ini tetap utuh dan padu.

"Walau apa pun ideologi parti, semangat bersatu padu di bawah satu kepemimpinan untuk sebuah negara yang maju perlu dipertahankan.

"Apatah lagi dengan gabungan ini, ia sedikit pun tidak meminggirkan mana-mana kaum untuk sama-sama menikmati kemajuan dan kemakmuran negara," katanya.

Yang turut hadir Ketua BERSATU Bahagian Kluang, Mohamad Nor Lingan; Ketua Muslimat PAS, Latifah Omar; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md Norhalim Md Amin serta wakil MIC dan MCA.