--> Skip to main content

Lima ditahan pasang bendera terbalik pada lori sampah

PEMANDU lori serta empat pekerja syarikat sisa pepejal ditahan berhubung kes pemasangan Jalur Gemilang terbalik pada lori sampah di Bandar Country Homes, Rawang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang lelaki berusia 36 tahun yang melalui hadapan masjid di lokasi berkenaan pada 9.40 pagi.

"Pengadu memaklumkan dia melihat Jalur Gemilang dipasang terbalik di bahagian hadapan lori sampah berkenaan.

"Lelaki terbabit memberhentikan lori itu dan menegur pemandunya selain merakam insiden berkenaan yang kemudian memuat naik video itu di media sosial sehingga tular.

"Malah, lelaki terbabit turut membuat laporan polis berhubung perkara itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat diterima, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang juga pemandu lori sampah berkenaan pada 7.30 malam ini.

Menurutnya, selain itu, pihaknya menahan empat pekerja lelaki warga Bangladesh berusia antara 30 hingga 43 tahun untuk siasatan lanjut.

"Semua suspek akan direman esok. Kami membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 berhubung kes ini," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 36 saat memaparkan bendera Malaysia dipasang terbalik di bahagian hadapan lori sampah yang tular di media sosial, hari ini.

Berita berkaitan

• 'Maafkan kami atas kesilapan'