--> Skip to main content

Lembaga pengarah THHR tiada pengalaman

AUDIT pengurusan yang dijalankan terhadap TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) mendapati hanya seorang daripada empat ahli Lembaga Pengarahnya yang berstatus bebas.

Audit yang dijalankan Jabatan Audit Negara juga mendapati tiada lembaga pengarah yang mempunyai pengalaman dalam industri perhotelan yang boleh membantu dalam pengurusan operasi THHR dengan lebih berkesan.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) menyatakan kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif belum dilantik sejak 1 Mei 2019, manakala pemangkunya adalah Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Operasi THHR menjalankan dua tugas dalam masa sama.

Katanya, Kod Malaysia mengenai Tadbir Urus (MCCG) 2017 amalan 4.1 menyarankan sekurang-kurangnya separuh daripada komposisi Lembaga Pengarah berstatus bebas.

"Semakan Audit mendapati sehingga Februari 2020, tiga daripada empat Lembaga Pengarah THHR berstatus tidak bebas.

"Pengerusi Lembaga Pengarah THHR adalah Lembaga Pengarah TH manakala tiga Lembaga Pengarah yang lain adalah pegawai yang sedang berkhidmat di TH.

"THHR menerima pelantikan Lembaga Pengarah berdasarkan surat lantikan yang dikeluarkan oleh TH. Keadaan ini tidak selaras dengan amalan terbaik dan boleh menimbulkan risiko konflik kepentingan dalam membuat keputusan.

"Semakan Audit mendapati Piagam Lembaga Pengarah THHR tidak disediakan. THHR mengguna pakai terma rujukan Lembaga Pengarah namun ia tidak dinyatakan secara terperinci," katanya.

LKAN juga mendapati sebahagian Lembaga Pengarah yang dilantik oleh syarikat induk pada 2019 tidak mempunyai pengalaman pengurusan operasi hotel, sebaliknya mempunyai latar belakang aspek pentadbiran awam, perakaunan dan sumber manusia.

Justeru, ia mempengaruhi keupayaan Lembaga Pengarah memberi pandangan dan nasihat bersesuaian terhadap operasi syarikat yang tidak mencapai sasaran dan penetapan pengurusan risiko dalam pelan perniagaan syarikat.

"Ketiadaan pengarah bebas yang mempunyai latar pengalaman industri perhotelan boleh memberi kesan kepada perancangan hala tuju syarikat dalam mencapai objektif penubuhannya.

"Antara kelemahan yang ditemukan ialah kadar pengisian bilik dan prestasi pendapatan hotel secara keseluruhannya masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.

THHR dalam respon kepada Jabatan Audit Negara pada 17 Jun dan 6 Ogos lalu, menyatakan Bahagian Pelaburan Strategik TH sudah menyediakan Rangka Kerja Pengawasan, Pengurusan dan Pemantauan Syarikat Pelaburan Strategik TH - Pengarah Nomini yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Penamaan dan Imbuhan TH.

Ia juga menyatakan, komponen utama yang terkandung dalam Piagam Lembaga Pengarah sesebuah syarikat ada dipusatkan di TH antaranya Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan dan Jawatankuasa Audit, Risiko dan Tadbir Urus.

"Tabung Haji (TH) juga akan melantik seorang ahli Lembaga Pengarah bebas pada bulan September 2020 selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Penamaan dan Saraan TH," katanya.

Selain itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif THHR juga sudah menamatkan perkhidmatan di THHR berkuat kuasa 31 Mac 2020 berikutan pemindahan aset dan sebahagian anggota THHR ke UJ Property Management Sdn Bhd, syarikat subsidiari milik penuh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), subsidiari milikan penuh Kementerian Kewangan.

Pada masa sama, THHR menyatakan projek pembangunan semula TH Hotel Kelana Jaya (THKJ) dijangka bermula dalam tempoh tiga tahun dari sekarang manakala Jawatankuasa Eksekutif (Exco) sudah diwujudkan bagi mengambil alih peranan dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan.