--> Skip to main content

Lemas mandi di air terjun

SEORANG wanita mati lemas ketika mandi bersama beberapa rakannya di Air Terjun Taka Pekoi, Bekok,Labis, pagi tadi.

Nabilah Aisyah Sallehudin, 23, dikatakan bersama enam rakan tiba di kawasan air terjun itu kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Mohd Farizan Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.33 pagi memaklumkan mangsa hanyut dibawa arus deras.

Katanya, sebuah jentera bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Namun mangsa dibawa orang awam ke Klinik Kesihatan Labis dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan klinik," katanya.

Mayat mangsa yang berasal dari Segamat itu kemudiannya dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.

Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Segamat, Superintendan Raub Selamat mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan kes sebagai mati lemas.