--> Skip to main content

Lelaki Rohingya didakwa rasuah pegawai APMM

SEORANG lelaki etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas tuduhan memberi suapan RM7,000 kepada seorang pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), bulan lalu.

Tertuduh Mohd Shabo Mohd Hussin, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran itu.

Dia didakwa cuba memberi suapan itu sebagai dorongan untuk pegawai itu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyeludupan masuk pendatang tanpa izin etnik Rohingya seramai 25 orang menggunakan jalan laut.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Restoran Faathirah Tomyam & Seafood di Padang Mat Sirat, Langkawi, pada kira-kira 1 pagi, 21 Julai lalu mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan memerintahkannya melapor diri ke pejabat SPRM terdekat dua kali sebulan serta menetapkan 27 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tan Sew Ping, manakala tertuduh diwakili peguam Badrul Munir Bukhari.