--> Skip to main content

Lelaki pukul isteri dipenjara 30 hari

Abnor Hamizam Abd

LELAKI dihukum penjara 30 hari oleh Mahkamah Majistret Bahau hari ini selepas mengaku bersalah memukul isterinya pada 21 Ogos lalu.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hazwan Mohd Amiruddin yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap isterinya berusia 27 tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah rumah di Bandar Seri Jempol pada 5 petang, 21 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu, lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara tertuduh dengan isterinya di kediaman mereka.

Pertengkaran itu berpunca apabila wanita berkenaan menegur lelaki itu yang leka bermain telefon bimbit.

Pertengkaran mereka kemudiannya berlanjutan apabila lelaki berkenaan bertindak mencederakan isterinya sebelum menyambung semula bermain permainan video dalam telefon bimbit miliknya.

Pada malam yang sama, ketika dalam perjalanan ke pasar malam berdekatan, tertuduh sekali lagi memukul wanita itu di muka.

Lelaki berkenaan bertindak demikian berikutan wanita itu enggan menuruti arahannya untuk membeli rokok.

Sampai di rumah, wanita itu keluar dan membuat laporan polis.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.