--> Skip to main content

Lelaki Nigeria parah ditetak tiga rakan senegara

SEORANG lelaki warga Nigeria cedera selepas ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah kedai serbaneka di Alam Jaya, Cheras, dekat Kajang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 30-an, jam 12.34 tengah hari.

"Mangsa yang baru selesai membeli barang di kedai serbaneka itu berlari meluru masuk semula ke premis terbabit untuk menyelamatkan diri selepas dikejar oleh ketiga-tiga suspek yang juga warga Nigeria.

"Mangsa kemudian ditetak oleh suspek di dalam premis berkenaan. Pekerja kedai yang terkejut dengan kehadiran mangsa dan suspek bertindak melarikan diri kerana ketakutan," katanya.

Mohd Zaid berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka pada ibu jari tangan kiri, retak tulang tangan kiri serta luka di bahagian dada dan kepala.

"Mangsa kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Kajang. Punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti.

"Siasatan lanjut berhubung kes itu masih diteruskan untuk mengesan dan menahan suspek terbabit mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nurfaezatul Akma Rofiee di talian 017-5443931," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 34 saat yang diperoleh daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk kedai serbaneka terbabit tular di media sosial sejak semalam.

Rakaman video itu menunjukkan mangsa dilihat keluar dari kedai serbaneka terbabit sebelum berlari meluru masuk semula ke dalam premis berkenaan selepas dikejar lelaki bersenjatakan parang.