--> Skip to main content

Lelaki maut tertimbus ketika mendulang bijih timah

TAIPING: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan kerja mendulang bijih timah, di sebuah kebun di Batu 24, Batu Kurau, di sini, semalam ditemui maut tertimbus tanah, malam tadi.

Mangsa, Mohd Zakaria Yahaya, 48, ditemui dalam keadaan membongkok dan tertimbus tanah pada kedalaman lima meter.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima laporan jam 10.09 malam dan bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja mencari dan menyelamat mangsa.

"Difahamkan mangsa melakukan kerja mendulang bijih timah di kawasan berkenaan secara bersendirian dan dilaporkan ahli keluarganya selepas tidak pulang ke rumah sehingga jam 8 malam.

"Pihak bomba yang mendapat maklumat melakukan kerja menggali tanah menggunakan peralatan khas di lokasi kejadian.

"Mangsa ditemui tertimbus dalam runtuhan tanah sedalam lima meter, dan berjaya dibawa keluar jam 10.49 malam tadi, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 12.20 tengah malam tadi," katanya dalam satu kenyataan.