--> Skip to main content

Lelaki maut motosikal terlanggar kucing

BALING: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh pasu bunga selepas dipercayai terlanggar kucing di Jalan Sultan Abdul Halim, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali, berkata mangsa Mohamad Azam Wahab, 27, dari Kampung Lorong Selamat Guar Chempedak, Gurun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada jam 12 tengah malam tadi dan siasatan mendapati mangsa menunggang menghala ke arah bulatan Sultan Abdul Halim Baling.

"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai terlanggar kucing lalu hilang kawalan dan terbabas melanggar pasu bunga di atas pembahagi jalan.

"Mangsa terjatuh di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Basri berkata, mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.