--> Skip to main content

Lelaki 'hilang' lebih 9 jam ditemui selamat

SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang lebih sembilan jam dalam ladang getah Jalan Sungai Malai, Kampung Charuk Malau, Padang Terap ditemui selamat, malam tadi.

Lelaki berusia 40-an itu dipercayai keluar dari rumahnya di kawasan berhampiran pada 3 petang semalam sebelum keluarga angkatnya menyedari dia hilang apabila tidak pulang ke rumah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan lelaki itu pada 9.26 malam tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah tiba di lokasi 10.19 malam.

Katanya, operasi disertai sembilan anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dari BBP Kuala Nerang dan dua jentera.

"Berdasarkan maklumat keluarga angkatnya, mangsa dipercayai keluar rumah ke ladang getah itu pada 3 petang dan tidak pulang ke rumah.

"Keluarga angkat mangsa kemudian membuat laporan polis dan menghubungi pihak bomba untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, ketika operasi dilakukan, keadaan di lokasi hujan dan gelap serta kawasan ladang yang luas dan semak.

Beliau berkata, tindakan anggota BBP Kuala Nerang mencari dan menyelamat mangsa dibahagikan kepada dua pasukan dengan menggunakan teknik sweep di sekitar kawasan mangsa terakhir dilihat dengan bantuan anggota polis serta penduduk kampung.

"Mangsa kemudian ditemui 12.45 tengah malam kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.

"Ketika itu, keadaan mangsa masih sedar tetapi kurang bermaya namun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada ahli keluarga angkatnya.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada 1.11 pagi.