--> Skip to main content

Leeds beli Rodrigo dari Valencia

LONDON: Leeds mengumumkan hari ini mereka mendapatkan pemain antarabangsa Sepanyol, Rodrigo dari Valencia dengan rekod perpindahan kelab.

Penyerang itu menandatangani perjanjian empat tahun di Elland Road dan dilaporkan pendatang baharu Liga Perdana itu membayar sekitar £30 juta (RM166.84 juta).

Pemain berusia 29 tahun itu teruja menyertai kelab berkenaan dan tidak sabar bekerja dengan Marcelo Bielsa, yang digambarkan sebagai seorang daripada jurulatih terbaik dalam bola sepak.

"Ia langkah baharu dalam karier saya dan saya mahu membantu pasukan mencapai sasaran musim depan," katanya di akaun Twitter kelab.

"Leeds berusaha selama dua minggu bagi mencapai persetujuan dengan Valencia – kami tahu Valencia ada sedikit masalah kerana kami tidak berjaya ke Liga Juara-Juara.

"Sejak kali pertama Victor (Orta, pengarah bola sepak) bercakap kepada saya, saya tahu saya mahukan cabaran baharu bersama Leeds."

Rodrigo, yang boleh bermain sebagai pemain sayap atau penyerang menghabiskan karier remaja di Celta Vigo dan Real Madrid sebagai pemain sebelum berhijrah ke Benfica. - AFP