--> Skip to main content

Lebih 200 orang hilang rumah

Foto

MALANG menimpa lebih 200 penduduk apabila kediaman mereka musnah dalam dua kebakaran berasingan di Julau dan Kota Samarahan, hari ini.

Dalam kejadian pertama di Rumah Panjang Chat, Nanga Bilat, Julau, seramai 142 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kejadian jam 1 tengah hari itu dipercayai bermula dari sebuah dapur rumah panjang 20 pintu itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.11 tengah hari dan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dikejarkan ke lokasi.

"Bomba mengambil masa 1 jam 24 minit untuk tiba di lokasi yang terletak 71 kilometer dari balai.

"Setibanya di lokasi, anggota kami menghadapi masalah sumber air dan yang ada cuma kolam kecil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Menurutnya, dalam kejadian berasingan di Kota Samarahan, lebih 100 orang hilang tempat tinggal apabila tiga blok rumah pekerja di Taman Berlian terbakar.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.22 petang sebelum 15 anggota dari BBP Kota Samarahan dan BBP Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi.

"Kebakaran membabitkan rumah jenis tidak kekal dengan kemusnahan 100 peratus," katanya sambil memaklumkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.