--> Skip to main content

Lebih 100 peniaga akur Pasar Seberang Kota tutup sementara

ALOR SETAR: Lebih 100 peniaga, pekerja dan nelayan di Pasar Seberang Kota, Kuala Kedah di sini terjejas selepas terpaksa akur arahan penutupan premis perniagaan mereka berkuatkuasa petang semalam bagi mencegah penularan COVID-19.

Peniaga ikan, Khadijah Md Shah, 45, berkata semua peniaga di kawasan itu mengikut arahan pihak berkuasa biarpun kehilangan pendapatan dan menanggung kerugian.

Katanya, selain peniaga ikan, turut terjejas ialah peniaga kedai makan dan buah-buahan, ikan kering serta belacan.

"Ramai juga yang bekerja mengambil upah harian di premis perniagaan di sini seperti saya yang menerima upah mengikut setiap kilogram ikan dijual dengan pendapatan harian kira-kira RM50.

"Anak saudara yang juga nelayan tidak dapat turun ke laut hari ini berikutan saya tidak dapat menjual hasil tangkapannya. Saya cuma berharap penularan di kawasan ini dapat dibendung cepat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari, berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat hari ini.

"Kita belum dapat pastikan berapa jumlah nelayan terjejas, saya akan dapatkan maklum balas daripada nelayan hari ini," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, MBAS mengarahkan semua peniaga di pasar, premis dan penjaja di sekitar Pasar Nelayan Seberang Kota ditutup berikutan penularan COVID-19 semakin serius di negeri ini.

Datuk Bandar MBAS, Datuk Zaid Ahmad, berkata arahan itu dikeluarkan selaras nasihat Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Sehubungan itu, semua peniaga di sekitar Pasar Nelayan, Seberang Kota dikehendaki menutup premis dan tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan berkuat kuasa serta merta hingga tarikh yang akan diberitahu kelak.