--> Skip to main content

Lebih 100 pemandu mabuk ditahan setiap bulan

LEBIH 100 individu ditahan setiap bulan atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol di Kuala Lumpur sejak awal tahun ini hingga Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, secara keseluruhan, 741 individu didapati memandu dalam keadaan mabuk ditahan bagi tempoh Januari hingga Julai lalu.

"Berdasarkan jumlah tangkapan itu, kami anggarkan lebih 100 individu ditahan setiap bulan secara purata kerana melakukan kesalahan itu menerusi Operasi Mabuk dilakukan di seluruh kawasan Kuala Lumpur.

"Pada masa sama, kami akan meneruskan operasi itu dengan kerjasama Ketua Polis Daerah di Kuala Lumpur serta agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di lokasi tumpuan iaitu di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Bulan Kemerdekaan di Plaza Tol Jalan Duta menghala selatan, hari ini.

Zulkefly berkata, pihaknya mengakui berlaku penurunan kes mat rempit di pusat bandar itu yang dipengaruhi beberapa faktor.

Beliau berkata, lazimnya ada mat rempit akan masuk ke pusat bandar seperti Dataran Merdeka pada awal pagi sebelum mereka beralih ke AKLEH atau DUKE selepas itu.

"Hasil pemerhatian mendapati jumlah kes mat rempit berkurangan di ibu kota ini yang mungkin disebabkan dua faktor utama iaitu tahap kesedaran semakin meningkat serta kumpulan berkenaan berpindah ke lokasi lain (luar Kuala Lumpur).

"Selalunya mereka akan memilih lokasi sunyi bagi mengelak aktiviti mereka dikesan orang ramai, sekali gus menyebabkan polis lambat menerima maklumat daripada orang awam," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya turut memberi perhatian kepada kesalahan menggunakan telefon bimbit dalam operasi dijalankan JSPT.

Menurutnya, penggunaan telefon bimbit adalah kesalahan diklasifikasikan sebagai kes tanpa kompaun yang akan dibicarakan terus di mahkamah memandangkan ia dikenal pasti sebagai antara punca menyumbang kepada kemalangan.

"Kebanyakan individu ditahan kerana kesalahan itu memberi alasan mereka menggunakannya bagi aplikasi Waze.

"Setakat ini, tindakan diambil terhadap individu yang memegang telefon bimbit dan bukannya mereka yang sekadar melihat gajet berkenaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dianggarkan 1.5 juta kenderaan akan keluar dan masuk ke pusat bandar termasuk untuk pulang ke kampung bagi tempoh empat hari cuti sempena Hari Kemerdekaan hujung minggu ini.