--> Skip to main content

Latihan kadet UPNM ikut SOP

LATIHAN ketenteraan lebih 1,100 Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus dilaksanakan mengikut kesesuaian aktiviti ketika Covid-19 dab prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal berkata, rata-rata aktiviti fizikal yang terkandung dalam sukatan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) boleh diteruskan dengan berpandukan kepada SOP yang ditetapkan.

Namun kata beliau, terdapat juga beberapa pengubahsuaian dibuat antaranya memendekkan tempoh atau menangguhkan latihan tertentu bagi memastikan risiko bersentuhan antara pelatih dapat dikurangkan.

"Latihan Tempur Tanpa Senjata (TTS) dan taekwando misalnya, kita tangguhkan buat sementara waktu susulan latihan itu mempunyai elemen bersentuhan.

"Namun bagi sukan yang dibenarkan MKN seperti bola sepak dan ragbi, latihan membabitkan sukan ini kita teruskan, apatah lagi sukan lain yang lebih bersifat individu juga kita jalankan seperti biasa.

"Kawad kaki latihan individu jadi yang boleh dilakukan dengan pematuhan kepada penjarakan fizikal yang ditetapkan," katanya kepada Harian Metro selepas menyempurnakan Majlis Bacaan Ikrar Pelajar Baru UPNM Bagi Sesi Akademik 2020/2021, hari ini,

Katanya, setiap Pegawai Kadet UPNM perlu memastikan mereka dapat menamatkan pengajian akademik serta latihan ketenteraan dalam tempoh yang sudah ditetapkan.

Oleh itu jelas beliau, adalah penting untuk setiap pelatih mengikut tempoh latihan yang sudah disesuaikan oleh ALK susulan SOP ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"ALK akan mengubahsuai jumlah jam bagi setiap kelas teori dan praktikal terbabit. Mungkin ada yang perlu ditambah, mungkin juga ada yang boleh dikurangkan asalkan memenuhi kriteria dalam silibus.

"Apapun, yang penting, Pegawai Kadet perlu menamatkan pengajian serentak dengan latihan ketenteraan mereka sama seperti penuntut lain yang bukan Pegawai Kadet, itu sasarannya.

"Ketika ini, dianggarkan 35 peratus daripada penuntut UPNM menyertai Pegawai Kadet manakala selebihnya adalah penuntut awam yang antaranya turut menyertai Palapes (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan)," katanya.

Sementara itu, pada majlis itu, seramai 772 penuntut baru program asasi dan diploma melafaz ikrar sempena kemasukan baharu sesi akademik 2020/2021 UPNM.

Jelas Abdul Halim, susulan pandemik Covid-19, sesi pendaftaran dibuat selama dua hari dan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi mengurangkan kesesakan.

"Malah kita melaksanakan kuarantin selama dua minggu untuk semua Pegawai Kadet sebelum latihan ketenteraan dimulakan kembali," katanya.