--> Skip to main content

Laluan maut di Ayer Hitam dinaik taraf

LALUAN sepanjang 14 kilometer antara Parit Sempadan hingga ke persimpangan Tol Ayer Hitam yang dikategorikan sebagai 10 jalan raya paling bahaya di negara ini akan dinaik taraf bermula pertengahan tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Wee Ka Siong berkata, rekod kemalangan maut sebanyak 554 kes dalam tempoh 10 tahun perlu diatasi segera.

Katanya, untuk itu, peruntukan sebanyak RM250 juta disalurkan bagi kerja naik taraf membabitkan pembinaan laluan empat lorong, pembahagi jalan, empat kawasan pusingan U dan enam jejantas untuk pejalan kaki dan motosikal.

"Buat masa ini, kerja mengukur jalan dan perancangan awal projek sudah dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan diharapkan semuanya berjalan lancar.

"Dengan pelaksanaan naik taraf ini, ia akan memberikan manfaat kepada keseluruhan penduduk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Semarang seramai 50,000 orang," katanya selepas majlis minum petang bersama pengundi Parlimen Ayer Hitam di Parit Sonto, hari ini.

Hadir sama, Penyelaras Pusat Daerah Mengundi Ayer Hitam Selatan, Zainal Abdul Jalil dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ayer Hitam, Joni Muhamat Yahya.

Sementara itu, Joni berkata, penantian lebih 10 tahun penduduk di kawasan itu berakhir apabila kerja naik taraf akan menjadikan laluan itu antara jalan raya di luar bandar yang terbaik.

"Pembinaan naik taraf ini juga secara tidak langsung mengurangkan kebimbangan penduduk," katanya.