--> Skip to main content

KRM kini tumpu kejohanan tahun depan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) kini memberi tumpuan penuh mempersiapkan skuad senior dan remaja bagi beberapa kejohanan tahun depan selepas badan induk, Ragbi Asia membatalkan semua kejohanan pada tahun ini.

Setiausaha Agung Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amrul Hazarin Hamidon berkata keputusan diambil itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Antara kejohanan di peringkat Asia yang Malaysia dijadualkan turut serta pada musim ini adalah Ragbi Asia (15s), Siri Tujuh Sebelah Asia, Bawah 19 tahun Ragbi Asia dan Bawah 20 tahun Ragbi 7s Asia.

"Kami sudah menjangkakan keputusan sebegini dengan mengambil kira situasi semasa dan menerima keputusan dibuat Ragbi Asia," kata Amrul.

"Saya fikir, adalah lebih baik dibatalkan berbanding menundanya kerana kita mungkin perlu memikirkan mengenai perlawanan yang dilakukan pada tarikh yang akan datang (apabila ditunda).

"Dengan langkah ini (pembatalan), kita mampu memberikan tumpuan penuh untuk mempersiapkan pasukan untuk musim 2021. Pada masa ini, skuad tujuh sebelah senior yang berada di bawah projek Sukan Asia 2026 sudah pun menjalani latihan di Kompleks Sukan (Bukit Jalil). Begitupun, kita masih belum memuktamadkan skuad 15's untuk musim depan."

Kelmarin, Ragbi Asia membuat keputusan itu dalam satu mesyuarat EXCO selepas mengambil kira pandangan jawatankuasa perubatan dan kejohanan badan selia Asia itu.

Pada bulan lalu, KRM mengumumkan pembatalan semua kejohanan kebangsaan, antaranya seperti Liga Ragbi Malaysia, Piala Agong dan Kejohanan 7 sepasukan Kebangsaan selain memaklumkan sebarang kejohanan berbentuk karnival masih tidak dibenarkan penganjuran sehingga hujung tahun ini.

Begitupun, KRM menjelaskan yang ahli gabungan masih dibenarkan untuk menganjurkan Liga Negeri 15 Sepasukan dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pihaknya.