--> Skip to main content

Korea Selatan kekalkan penjarakan fizikal tahap dua

SEOUL: Korea Selatan mengekalkan penjarakan fizikal pada tahap dua di Seoul dan kawasan sekitarnya untuk seminggu lagi bermula Ahad ini, walaupun kawasan itu mencatatkan lonjakan jangkitan COVID-19 baru-baru ini, kata Perdana Menteri, Chung Sye-kyu, hari ini.

"Kerajaan akan melanjutkan peraturan penjarakan fizikal yang dijadual berakhir hujung minggu ini kepada seminggu lagi," kata beliau lapor agensi berita Yonhap.

Terdapat permintaan supaya penjarakan fizikal ditingkatkan ke tahap tiga, namun ia adalah "pilihan terakhir mengambil kira kesan ekonomi dan sosial.

Chung berkata, kerajaan akan membincangkan kaedah untuk memperketat langkah kuarantin, termasuk mengehadkan waktu perniagaan restoran atau kafe.

Beliau turut menggesa gereja Protestan untuk menghentikan sementara upacara keagamaan dan mengarahkan "penguatkuasaan undang-undang bertindak tegas.

Semalam, Korea Selatan melaporkan 441 kes baharu COVID-19, pertama kali jumlah jangkitan harian meningkat lebih 400 dalam masa hampir enam bulan.-- BERNAMA