--> Skip to main content

Koperal polis antara 32 individu ditahan sertai parti liar

SERAMAI 32 individu termasuk seorang koperal polis ditahan ketika menyertai parti liar di sebuah rumah di Taman Bandar Mutiara, Sungai Petani, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis menyerbu rumah terbabit selepas unit peronda polis (MPV) menerima maklumat awam mengenai bunyi muzik kuat di rumah berkenaan pada 3.45 pagi.

Beliau berkata, seramai 22 lelaki dan 10 wanita berusia antara 17 hingga 31 tahun berkumpul di rumah berkenaan tanpa alasan munasabah dan didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kesemua mereka berkumpul dalam rumah itu mengadakan parti liar tanpa apa-apa kebenaran yang menyebabkan sukar untuk melaksanakan penjarakan fizikal.

"Mereka dipercayai menyewa rumah terbabit dengan bayaran RM190 semalaman bagi mengadakan parti liar," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Adli berkata, saringan air kencing juga mendapati 21 daripada mereka termasuk enam wanita positif dadah methamphetamine, amphetamine dan ketamin.

Katanya, koperal polis berusia 24 tahun dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda itu turut positif dadah methamphetamine.

"Seramai 21 individu termasuk anggota polis yang positif akan ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Selain itu kesemua yang ditahan turut disiasat mengikut kesalahan Peraturan 3 No 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7) 2020," katanya.