--> Skip to main content

Kongsi foto meriahkan sambutan Hari Kebangsaan

WALAUPUN tiada perarakan bagi sambutan Hari Kebangsaan 2020, namun ulang tahun kemerdekaan pada tahun ini dimeriahkan dengan perkongsian foto-foto ekspresi kemerdekaan oleh rakyat Malaysia di media sosial melalui #momentnegaraku.

Perkara itu didedahkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang berkata pihaknya mendapati banyak perkongsian foto-foto rakyat Malaysia menggunakan #momentnegaraku di media sosial.

"Kita telah lancarkan inisiatif #momentnegaraku supaya rakyat Malaysia dapat berkongsi saat terindah mereka sebagai rakyat Malaysia dengan menggunakan tanda pagar (#) tersebut pada setiap hantaran gambar di media sosial.

"Ini supaya walaupun tiada perarakan kemerdekaan pada tahun ini tetapi di alam maya dan media sosial kita ada partisipasi rakyat yang ramai," katanya kepada pemberita hari ini selepas meninjau persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, Putrajaya.

Beliau berkata, raptai selama dua hari termasuk esok diadakan bagi memastikan kelancaran sambutan Hari Kebangsaan 2020 yang bertemakan 'Malaysia Prihatin'.

"Saya mendapati persiapan dari segi tempat dan teknikal hampir sempurna dan saya yakin esok apabila kita adakan raptai penuh perkara-perkara lain akan dapat disempurnakan," katanya.

Menurutnya, memandangkan negara masih lagi berhadapan dengan ancaman wabak Covid-19 maka program sambutan Hari Kebangsaan 2020 dilakukan secara sederhana dan ringkas.

"Kita semua menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan untuk berangkat mencemar duli pada hari sambutan pada 31 Ogos nanti," katanya.

Menurutnya pada 31 Ogos, atur cara serba ringkas diatur iaitu keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Dataran Pahlawan Negara yang disusuli dengan upacara tabik hormat, pemeriksaan barisan kawalan keselamatan utama dan diikuti dengan titah oleh Yang Dipertuan Agong bersempena Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara dan Hari Kebangsaan 2020.

Saifuddin berkata, acara diteruskan dengan keberangkatan Seri Paduka berdua untuk menonton siaran langsung program-program kemerdekaan yang disiarkan menerusi stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM).