--> Skip to main content

Konco sindiket rokok seludup ditahan

BATU PAHAT: Remaja lelaki dipercayai konco sindiket penyeludupan rokok tidak sempat mengedar bekalan ke kedai runcit apabila ditahan di Kampung Sungai Ayam di di sini, hari ini.

Remaja 18 tahun itu ditahan sepasukan anggota Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam melakukan rondaan keselamatan pada 1 tengah hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Superintendan Dimin Awang berkata, pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang dipandu suspek menemukan 400 karton rokok seludup pelbagai jenama.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM124,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar rokok ke kedai runcit tidak berlesen di sekitar kawasan Batu Pahat.

"Suspek ditahan dan semua barang salah itu dirampas mengikut Akta Kastam 1967.

"Tangkapan dan barang rampasan itu kemudiannya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut," katanya.