--> Skip to main content

Kluster Sivagangga bukti mutasi jenis D614G

PENINGKATAN kes mendadak dalam Kluster Sivagangga antara bukti mutasi jenis D614G boleh menyebabkan Covid-19 menjadi 10 kali lebih mudah berjangkit.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian berkaitan Covid-19 setiap hari akan membawa pembelajaran dan maklumat baharu.

Menurutnya, apa yang pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati Kluster Sivagangga merebak dengan cepat dan kajian makmal juga mengenal pasti ia disebabkan mutasi jenis D614G.

"Kita juga dimaklumkan dalam laporan luar negara mutasi spike protein meningkatkan kebolehjangkitan.

"Apa pun tindakan kesihatan awam dipergiatkan untuk kawalan penularan virus ini," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pakar di Singapura yang mempersoalkan dakwaan beliau bahawa Malaysia menemui strain virus yang menyebabkan Covid-19 menjadi 10 kali lebih mudah berjangkit.

Mereka juga mempersoalkan dakwaan bahawa vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkan tidak akan berkesan terhadap varian virus baru itu.

Straits Times Singapura melaporkan Pengarah Program Penyakit Berjangkit di Duke-NUS Medical School, Wang Linfa berkata, tidak ada data ilmiah yang jelas untuk mendakwa bahawa D614G lebih mudah tersebar, apatah lagi mendakwa ia 10 kali ganda.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut berkongsi data yang dibuat oleh Nextstrain Gisaid menunjukkan perbezaan sampel tanpa mutasi D614G dengan sampel memiliki mutasi D614G yang menunjukkan kecepatan merebaknya Covid-19 apabila termutasi.

Harian Metro semalam melaporkan mutasi jenis D614G dikesan daripada pengasingan kultur virus Covid-19 untuk tiga kes daripada Kluster PUI Sivagangga (kontak rapat kepada kes indeks) dan satu kes daripada Kluster Ulu Tiram iaitu individu daripada Filipina.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan terkini itu diterima daripada makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).