--> Skip to main content

KKM hasil dokumentari usaha merdekakan negara daripada COVID-19

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menghasilkan sebuah dokumentari pendek bagi memberikan gambaran sebenar di sebalik tabir pasukan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Perkhidmatan Hospital dan barisan hadapan negara dalam usaha memerdekakan negara daripada penularan jangkitan COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Video berdurasi 10.46 minit yang dikongsikan di Twitter rasmi Dr Noor Hisham itu memaparkan wajah-wajah wira yang bertungkus-lumus menjalankan kerja belakang tabir ketika negara berperang menentang COVID-19.

"Kita dapat kawal dengan baik iaitu kita berjaya 'landaikan lengkungan,' itu adalah kejayaan pertama perjuangan kita. Ia berjalan dengan lancar, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan dengan lancar," katanya.

Dalam video itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) merangkap Penasihat CPRC Perkhidmatan Hospital, Datuk Dr Rohaizat Yon berkata pusat itu telah lama wujud tetapi tidak begitu menonjol dan disebabkan COVID-19, pusat itu mendapat peruntukan khas serta menjadi lebih canggih.

"Mereka mengatakan bahawa Ketua Pengarah Kesihatan adalah ketua atau panglima yang paling besar dan saya sebagai panglima COVID-19 dan di samping panglima, saya ada ramai pendekar, hulubalang dan laskar yang sanggup berjuang melawan virus ini.

"Mereka ini semua memainkan peranan penting melahirkan satu usaha besar, kewujudan kita lihat di sini CPRC Perkhidmatan Hospital yang lebih tersusun," katanya.

Selain itu, Pengarah Perkembangan Perubatan Bahagian Perkembangan Perubatan (Pengurus Insiden), Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata pusat itu adalah nadi dalam menjalankan setiap aktiviti menggembleng tenaga untuk data kritikal.

Di akhir video, terdapat petikan yang sering diucapkan Dr Noor Hisham dalam sidang media berhubung perkembangan terkini COVID-19 iaitu "terima kasih kepada semua rakyat atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan kepada petugas barisan hadapan dan pihak berkuasa sepanjang tempoh sukar ini.

"Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita, kita jaga negara kita," katanya.

Video Bahagian 1 CPRC Perkhidmatan Hospital bersama mengatur strategi barisan hadapan tidak terhenti setakat itu sahaja dan akan bersambung dengan bahagian dua tidak lama lagi. – BERNAMA