--> Skip to main content

Kilang didenda RM15,000 gagal patuh prosedur

SYARIKAT pemprosesan makanan laut didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping, hari ini selepas didapati gagal mengadakan prosedur kerja yang selamat dan lengkap sehingga menyebabkan kematian seorang pekerjanya, dua tahun lalu.

Hakim Tuan Zulhelmy Hasan turut mengarahkan Hong Cheng Seafood Supplier Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya supaya membayar pampasan sebanyak RM5,000 kepada waris mangsa.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam kenyataan hari ini berkata, syarikat itu membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat berkenaan didapati gagal mengadakan prosedur kerja yang selamat dan lengkap bagi aktiviti penggunaan bahan kimia sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja berusia 49 tahun akibat terhidu bahan kimia berkenaan.

Insiden berkenaan berlaku pada 4 petang pada 14 Februari 2018 menyebabkan mangsa mengalami sesak nafas seterusnya tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Taiping pada 4 pagi keesokkannya.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Rizal Azizi Ghazali dan Rashidah Hamdan.