--> Skip to main content

Khairuddin selesai beri keterangan

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali difahamkan sudah selesai diambil keterangan oleh polis di Bukit Aman, di sini, berhubung siasatan melanggar arahan kuarantin wajib selepas beliau pulang dari Turki pada 7 Julai lalu

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dikatakan memberi keterangan di Bukit Aman bermula jam 8 malam tadi.

Difahamkan, beliau selesai memberi keterangan selepas kenderaan rasmi yang diletakkan berhampiran Masjid Bukit Aman tiada kira-kira jam 10.20 malam tadi.

Kereta rasmi itu berjaya dikesan media namun setelah melihat kelibat media, ia keluar namun kembali semula ke tempat letak kereta itu.

Mohd Khairuddin difahamkan masuk ke Bukit Aman menggunakan kenderaan lain sekitar jam 8 malam, bagi mengelak dirakam media yang menunggu sejak jam 4 petang.

Terdahulu, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, memaklumkan Khairuddin berada di Bukit Aman.

"Keterangan beliau sedang di ambil," katanya ringkas.

Media sebelum ini melaporkan polis mahu merakam keterangan Khairuddin bagi membantu siasatan berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari luar negara.

Ahad lalu, BH melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Khairuddin kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah susulan 27 laporan polis yang diterima di seluruh negara berhubung perkara itu.

Kementerian Kesihatan dilaporkan menyerahkan kertas siasatan dalaman pihaknya berhubung isu pelanggaran kuarantin oleh Khairuddin kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Khairuddin turut dikompaun oleh kementerian sebanyak RM1,000 atas kesalahan itu.