--> Skip to main content

Khairuddin 'mengadap' Bukit Aman esok

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dipanggil ke Bukit Aman esok berhubung siasatan pelanggaran perintah kuarantin.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Ditanya sama ada Khairuddin akan dipanggil ke Bukit Aman esok, Mior hanya menjawab "Ya", ketika dihubungi FMT.

Hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media yang disiarkan minggu lalu.

Katanya, pihak atasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak dimaklumkan mengenai kes pelanggaran perintah kuarantin Mohd Khairuddin sebaik beliau pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

"Saya dan juga timbalan pengarah yang lain tidak dimaklumkan oleh petugas di lapangan mengenai perkara ini dan hanya mengetahuinya daripada laporan media minggu lalu.

"Bagaimanapun, kami sudah mengarahkan siasatan dalaman dilakukan berhubung perkara itu dan saya sudah menerima laporan penuh siasatan terbabit," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sabtu lalu, KKM dilaporkan berkata Khairuddin dikompaun RM1,000 selepas didapati melakukan kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Ahad lalu, Noor Hisham melalui Twitternya berkata, walaupun Khairuddin dikompaun RM1,000 atas kesalahan berkenaan, kes itu masih disiasat polis.

Khairuddin sepatutnya menjalani kuarantin wajib 14 hari sekembali dari Turki tetapi beliau menghadiri beberapa acara termasuk sidang Parlimen pada 13 Julai lalu.

Beliau kemudian memohon maaf dan berjanji akan memulangkan semua gajinya sebagai menteri bagi Mei hingga bulan ini sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) bawah KKM.