--> Skip to main content

Keterangan 10 saksi dirakam bantu siasatan kematian pelajar tahfiz

POLIS sudah mengambil keterangan lebih 10 saksi bagi membantu menyelesaikan kes kematian pelajar tahfiz yang ditemui tergantung akibat dibunuh pada 2014.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, semua saksi berkenaan dirasakan mampu membantu siasatan polis.

"Kita akan mempercepatkan siasatan sebelum merujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

"Hasil keterangan yang direkodkan sedikit sebanyak membantu melengkapkan siasatan polis.

"Kita akan kemukakan perkara itu kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat memandangkan semalam baru saya menyemak kertas siasatan berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Akhbar sebelum ini melaporkan, keluarga kepada pelajar tahfiz yang mati dibunuh pada Disember 2014 meluahkan rasa kecewa apabila kematian anaknya tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Ibu mangsa, Ruhani Hussin, 65, berkata walaupun Mahkamah Koroner memutuskan anaknya, Wan Ahmad Faris Wan Yaakob, 16, dibunuh oleh individu yang identiti tidak kenal pasti, namun sehingga kini kes anaknya seolah-olah tidak disiasat.

Dalam kejadian 14 Disember 2014, mayat Wan Ahmad Faris, iaitu pelajar Tingkatan Empat Sekolah Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas ditemui tergantung dalam keadaan separuh bogel.

Mayatnya ditemui oleh penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas asrama itu.

Hasil bedah siasat oleh pakar forensik mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian Wan Ahmad Faris pada Disember 2014 adalah dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.

Koroner, Adli Abd Ghalib membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 11 saksi termasuk keluarga, rakan mangsa, polis, dan sekolah.