--> Skip to main content

Kes curi telefon bimbit rupanya

POLIS menahan empat lelaki termasuk dua warga Myanmar dipercayai terbabit dalam pergaduhan di hadapan restoran di Jalan Landak, Pudu, di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, pihaknya berjaya mengesan dua mangsa yang dipukul dalam kejadian itu iaitu dua lelaki warga Myanmar berusia 30 dan 40 tahun.

"Kedua-dua mangsa cedera di muka dan badan akibat kejadian itu dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

"Hasil siasatan, dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga Myanmar berusia 23 hingga 44 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada seorang daripada mangsa dikatakan mencuri telefon bimbit salah seorang daripada suspek (penyerang).

"Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung kes ini sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pihaknya melakukan siasatan berhubung kejadian itu yang berlaku jam 3.11 pagi tadi.

Satu rakaman video berdurasi tiga minit 51 saat menunjukkan lelaki dipukul beberapa individu menggunakan senjata dipercayai topi keledar di lokasi berkenaan yang tular di media sosial, hari ini.

Malah, mangsa juga dilihat diseret dengan rambutnya ditarik oleh kumpulan lelaki berkenaan selain dipukul serta ditendang.

Berita berkaitan: