--> Skip to main content

Kerugian bersih Media Prima mengecil

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd mencatat kerugian bersih lebih rendah sebanyak RM48.05 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, disokong oleh Pelan Transformasi Kumpulan.

Keputusan itu adalah 10 peratus lebih baik berbanding kerugian bersih RM53.6 juta yang dicatat dalam tempoh sama tahun lalu.

Kumpulan Media bersepadu terbesar di Malaysia itu dalam satu kenyataan berkata, meskipun perniagaan kumpulan terus tertekan oleh cabaran sedia ada industri dan diburukkan lagi dengan kesan pandemik COVID-19, namun perolehan Media Prima hanya menurun 11 peratus kepada RM474.7 juta dalam tempoh dikaji berbanding RM535.9 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Media Prima berkata, pelan transformasi kumpulan yang membabitkan penyemakan model perolehan, telah mempertahankan kumpulan daripada mengalami penurunan perolehan yang lebih besar.

"Transformasi ini juga membabitkan pengurangan ketidakcekapan kos daripada pertindihan kerja, sekali gus menyaksikan kerugian selepas cukai (LAT) berkurang 10 peratus kepada RM48 juta pada tempoh berkenaan berbanding kerugian bersih RM53.6 juta setahun yang lalu. Perbelanjaan operasi turun sebanyak 13 peratus dalam tempoh itu.

"Jika item luar biasa, iaitu caj manfaat penamatan berjumlah RM11.3 juta dikecualikan, kerugian bersih akan berkurang 32 peratus kepada RM36.7 juta berbanding tempoh perbandingan. Ini juga dapat dilihat dalam peningkatan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, pelunasan dan penurunan nilai sebanyak RM16.3 juta berbanding RM10 juta untuk tempoh yang sama, walaupun

terdapat penurunan perolehan," kata kenyataan itu.

Bagi tempoh tiga bulan berakhir Jun 2020, perolehan kumpulan menurun sedikit kepada RM236.3 juta berbanding RM238.4 juta pada suku sebelumnya.

Kerugian kumpulan berkurang 40 peratus kepada RM18 juta pada tempoh dikaji berbanding RM30 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Media Prima berkata, segmen membeli-belah di rumah mencatatkan keuntungan bersih separuh pertama dengan ketara sebanyak RM6.3 juta, berbanding kerugian bersih RM7.6 juta setahun yang lalu.

Perolehan CJ Wow Shop dicapai dengan peningkatan 34 peratus kepada RM152.8 juta dalam pendapatan separuh pertama 2020 berbanding RM114.3 juta pada tempoh sama.

Mengulas perkembangan itu, Pengerusi Kumpulannya, Datuk Syed Hussian Aljunid, berkata peningkatan prestasi CJ Wow Shop menunjukkan kejayaan segmen membeli-belah di rumah yang dibina Media Prima sejak empat tahun lalu.

"Ketidakpastian yang timbul semasa pandemik Covid-19 adalah masa yang mencabar untuk operasi kami, namun sebagai penyedia perkhidmatan penting semasa perintah kawalan pergerakan, ia menjadi peluang untuk merebut peluang-peluang perniagaan baru.

"CJ Wow Shop memperoleh manfaat hasil jumlah tontonan yang lebih tinggi untuk siarannya, di mana telah menarik pelanggan baru dan mencatat jualan yang lebih besar dari platform e-dagang serta dagangan mudah alih kami. Kami telah berjaya membina asas yang kukuh bagi segmen ini dan kekal memberi tumpuan terhadap kelebihan ini," katanya.

Beliau menambah, kumpulan baru-baru ini memperkenalkan identiti baru untuk Media Prima Digital dan REV Asia — REV Media Group — sebagai sebahagian daripada inisiatif penjenamaan semula korporatnya dan untuk menyelaras proses dan fungsi perniagaan.

REV Media Group mewakili lebih daripada 30 jenama terkemuka teratas dan menjangkau lebih dari 15 juta orang setiap bulan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata meskipun industri media banyak dipengaruhi kesan ekonomi dari pandemik COVID-19, platform perdagangan dan digital kumpulan itu mengalami lonjakan trafik kerana lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan khidmat dalam talian.

"Kami yakin kedua-dua segmen ini akan menjadi bidang pertumbuhan yang signifikan bagi Kumpulan. Sebagai syarikat media bersepadu terbesar di Malaysia, kami yakin perbelanjaan untuk pengiklanan akan kembali apabila perniagaan dapat menyesuaikan diri dengan norma baru dan berhubung kembali

dengan pengguna.

"Hasil pelaksanaan transformasi yang merangkumi penyatuan semua fungsi pengiklanan untuk segmen perniagaan Penyiaran, Penerbitan dan Penciptaan Kandungan di bawah Media Prima Omnia mulai April 2020 adalah positif," katanya.

Melangkah ke hadapan, Iskandar Mizal berkata, kumpulan akan memperkemaskan lagi fungsi dan perolehan pemasaran.

Aktiviti siaran komersial dan radio dari Rangkaian Televisyen Media Prima dan RIPPLE akan digabungkan di bawah penyiaran, katanya.

"Namun, kami menjangkakan keadaan ekonomi yang sukar akan berterusan dan kami juga akan terus melaksanakan langkah-langkah untuk meningkatkan kecekapan operasi dengan pengurusan kos yang berhemat tanpa mengorbankan kualiti yang ditawarkan," katanya.