--> Skip to main content

Kereta terbalik di tengah lebuh raya

EMPAT sekeluarga cemas apabila kereta dinaiki terbalik selepas melanggar pembahagi jalan di Kilometer 117, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dekat Batu Pahat, arah selatan pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, dalam kejadian 7.16 pagi itu, pemandu, Mohd Shahruddin Samian, 36, dan penumpang hadapan, Noraneza Tahir Abdul Ghani, 42, cedera.

"Dua penumpang belakang iaitu Nurqalisha Mohd Najwid, 14, dan Maisara Mohd Najwid, 11, pula tidak mengalami apa-apa kecederaan.

"Semua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk diberi rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebaik anggota tiba di lokasi kejadian membabitkan Perodua Axia itu, pihaknya mendapati ke semua mangsa sudah keluar.

"Seramai 13 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh dan Yong Peng dihantar ke tempat kejadian.

"Operasi menyelamat ditamatkan pada 8.24 pagi, katanya.