--> Skip to main content

Kerana Bencikan Watak Nurul Dalam Drama 7 Hari Mencintaiku 2, Pelakon Wafariena Diugut Disimbah Asid Oleh Individu Tidak Bertanggungjawab

Membawa watak Nurul dalam drama yang mencetuskan fenomena, 7 Hari Mencintaiku 2, ternyata telah memberi impak besar terhadap kerjaya pelakon baru, Wafariena Roslan,25. Mana tidaknya, gara-gara watak tersebut, dia telah diugut untuk disimbah dengan asid serta mendapat mesej maki hamun yang tidak henti-henti oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Dia yang membawa watak jahat dalam telefilem berkenaan telah benar-benar memberi kesan kepada penonton di luar sana sehinggakan ada yang bertindak di luar batasan. Walau bagaimanapun, ianya tidak mematahkan semangat dan memberi kesan kepada gadis kelahiran Pulau Pinang itu.

Menurut Wafa, hampir setiap hari dia menerima mesej melalui DM Instagram miliknya. Mesej-mesej berupa maki hamun dan kejian penonton bagi pelakon ini adalah penanda aras kepada tahap lakonannya.

"Walaupun kena maki hamun, saya gembira akhirnya penonton menyedari kewujudan saya. Saya dah jangka watak Nurul Ain akan memberi impak besar. Ada yang panggil saya dengan gelaran yang tidak baik, paling lucu apabila ada yang mengambil gambar mereka sedang meletakkan kaki pada muka saya di skrin TV, kemudian menghantarnya kepada saya,"

Menurutnya lagi, dia pernah diugut untuk disimbah asid ke wajahnya. Namun dia bersyukur kerana kewajipan untuk memakai penutup muka kini menjadikan agak sukar untuk dirinya dicam dan dijadikan sasaran orang yang tidak bertanggungjawab.

Malah, dia pernah dicaci secara tiba-tiba oleh seorang makcik ketika sedang makan kerana terlalu membenci watak Nurul Ain, namun dapat ditenangkan oleh Wafa.

 Wafa yang mula 'terjun' ke dalam bidang lakonan sejak tahun lalu kini merasa bersyukur kerana drama bersiri pertama yang dibintanginya kini meninggalkan kesan kepada penonton di luar sana.

"Mungkin ini adalah permulaan baik untuk pelakon baru seperti saya. Sebelum ini saya pernah menjayakan beberapa telefilem tetapi lakonan belum cukup menyerlah. Berbeza pula dengan watak kali ini. Alhamdullilah, tawaran berlakon pun semakin banyak diterima. Sebagai pelakon baru tak boleh memilih watak sangat, jadi saya terima apa saja tawaran untuk mengasah bakat dan pengalaman dalam bidang lakonan,"

Sekadar info, Wafa sebelum ini pernah mencuba nasib dalam bidang nyanyian dan kini bernaung di bawah syarikat MAP Music dan sedang sibuk mempromosikan single pertama berjudul Carilah Aku.

 Dia turut fasih berbahasa mandarin dan pernah bekerja sebagai penyanyi sambilan dan turut mengikuti pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sumber: Berita Harian

Written by Intan PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.