--> Skip to main content

Kerajaan tidak takut naikkan harga siling beras tempatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak takut untuk menaikkan harga siling beras tempatan di pasaran bagi mewujudkan situasi saling menguntungkan antara penggiat industri dan pengguna.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata pendirian itu selari kedudukan pengeluaran padi dan beras negara yang dianggap sebagai sektor kritikal serta strategik.

Katanya, kerajaan perlu merangka penyelesaian bersifat menyeluruh, memandangkan kepentingan pesawah yang menjadi aset paling penting dalam sektor itu harus dijaga tanpa meminggirkan tanggungjawab melindungi kehidupan rakyat.

"Kalau kita tidak kawal harga siling beras tempatan, ia akan mengundang kemarahan rakyat dan menyusahkan mereka, namun kepentingan pesawah harus dijaga.

"Kertas cadangan berhubung perkara ini sudah dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diteliti dan sekiranya boleh membawa kebaikan kepada semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan, kementerian akan pertimbangkan," katanya pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.