--> Skip to main content

Kerajaan rugi RM2.22 juta

KEMENTERIAN Pertahanan menerima sembilan kenderaan pengangkut berperisai (Armoured Personnal Carrier - APC) tidak menepati spesifikasi ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga menyebabkan bayaran balik diterima kurang RM2.22 juta daripada RM4.25 juta.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, ada antara kenderaan berkenaan sudah dihantar ke Lubnan untuk digunakan pegawai dan anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALLBAT) bagi operasi mereka di sana.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan membeli sembilan APC itu dengan spesifikasi tinggi, yang ditetapkan oleh PBB iaitu kenderaan itu perlu disekalikan dengan sistem pensenjataan, bagi membolehkan anggota tentera yang berada di dalam APC melepaskan tembakan dari dalam kenderaan.

"Namun, apabila MINDEF terima APC berkenaan, sistem pensenjataan itu tidak disekalikan iaitu anggota tentera perlu mengeluarkan kepala mereka untuk melepaskan tembakan.

"Dari segi keselamatan memang tidak selamat kerana apabila anggota perlu mengeluarkan kepala dari kenderaan sudah tentu membolehkan mereka menjadi sasaran.

"Walaupun ia memberi risiko kepada anggota tentera, Kementerian Pertahanan tetap menerima APC yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan oleh PBB.

"Kita hanya boleh mendoakan keselamatan mereka di sana," katanya dalam sidang media Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019, Siri 1, di Putrajaya, hari ini.

Nik Azman berkata, perkara itu berlaku apabila penyerahan kenderaan tentera itu diterima oleh kumpulan lain dan bukannya kumpulan MALBATT yang lebih mengetahui mengenai spesifikasi yang ditetapkan.

Berikutan itu, Nik Azman berkata, PBB hanya membayar RM2.03 juta kepada kerajaan berbanding bayaran penuhnya ialah RM4.25 juta.

"PBB akan membuat bayaran balik kepada kepada kerajaan untuk penggunaan kenderaan APC yang akan digunakan berdasarkan penilaian dalam Memorandum Persefahaman (MoU) dan bayaran balik ini tertakluk kepada pemeriksaan Peralatan Milik Kontinjen (COE) yang dijalankan setiap tiga bulan.

"Disebabkan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, PBB tidak mahu membayar balik secara penuh. Dari RM4.25 juta yang sepatutnya diterima oleh kerajaan, kita hanya terima RM2.03 juta iaitu rugi RM2.22 juta," katanya.

Sementara itu, maklum balas yang diterima oleh Jabatan Audit daripada Kementerian Pertahanan pada 22 Julai lalu menyatakan bahawa kenderaan APC itu lulus pemeriksaan pada 17 Jun hingga 4 Julai lalu serta ia diperakui untuk digunakan bagi misi Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

Menurut maklum balas berkenaan, kenderaan itu turut melepasi pemeriksaan COE yang dilaksanakan pada 20 Julai 2018 dan ketidakpatuhan spesifikasi kenderaan yang ditetapkan oleh PBB itu hanyalah dari sistem persenjataan yang tidak dilengkapi dengan sistem 'turret' atau 'Remote Control Weapons Station'.

Sebaliknya, Kementerian Pertahanan memaklumkan, kenderaan APC itu dilengkapi dengan sistem persenjataan Commander Cupola dengan senjata MGKA 7.62 mm sahaja.

Bagaimanapun, menurut penyataan audit walaupun kenderaan itu melepasi pemeriksaan COE untuk kegunaan operasi misi UNIFIL tetapi ia tidak mematuhi sepenuhnya syarat bayaran balik dalam MoU dan menyebabkan ketirisan jutaan ringgit.