Skip to main content

Kerajaan negeri sedia hadapi PKPD di Kubang Pasu - EXCO

ALOR SETAR: Kerajaan negeri bersedia sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kubang Pasu susulan penambahan kes positif COVID-19 hari ini.

EXCO Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata langkah itu dilihat sangat penting berikutan orang ramai masih berdegil tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Beberapa buah kampung sudah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga seperti maklumat yang diperolehi, penduduk perlu bantu diri sendiri, jika bergejala atau ada kontak rapat dengan individu yang positif, mereka harus segera lakukan saringan.

"Kita bimbang kes akan bertambah berikutan ada lagi keputusan saringan yang belum keluar. Sekarang jika jalan yang terbaik adalah PKPD, maka kita akan ikut sahaja bagi memutuskan rantaian COVID-19," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Hayati berkata, ketika ini penduduk di negeri ini tidak mempunyai pilihan lain dan seharusnya kejadian kluster Sivagangga dijadikan pengajaran untuk semua.

Katanya, penjarakan fizikal, memakai pelitup muka serta menjaga kebersihan diri perlu dititikberatkan walaupun tinggal di kawasan kampung.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan ada kluster baharu dikenal pasti di Kedah iaitu kluster Sivagangga yang membabitkan seorang pemilik kedai makan, seorang ahli keluarganya dan empat pekerja kedai di Napoh.

Selepas lima hari, kes itu bertambah kepada 20 orang (tambahan 13 orang) hari ini membabitkan kawasan di Napoh, Megat Dewa dan Padang Sanai di Padang Terap.