--> Skip to main content

Kenalpasti tujuh blok Kampung Baru dibangunkan

KUALA LUMPUR: Penawaran pampasan berjumlah RM1,000 sekaki persegi kepada pemilik tanah di Kampung Baru tidak dapat diteruskan kerana tiada sumber pembiayaan keseluruhannya bernilai RM7 bilion daripada Perbendaharaan bagi menampung jumlah bayaran berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, juga berkata, kaedah itu juga tidak dapat diteruskan berikutan hanya 61 peratus sahaja penduduk di Kampung Baru sebelum ini yang bersetuju terhadap penawaran pampasan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya pembangunan Kampung Baru akan diteruskan menggunakan kaedah organik di mana sehingga kini pihak Perbadanan Kampung Bharu (PKB) sudah mengenal pasti tujuh blok daripada lebih 50 yang boleh dibangunkan bila-bila masa dari sekarang.

"Saya juga sudah memberi arahan buat PKB supaya menyampaikan kepada penduduk Kampung Baru mengenai perkembangan terbaru di mana kita sedang menggubal pendekatan baharu untuk dipersembahkan kepada mereka dalam tempoh sedikit masa lagi.

"Konsep yang akan dipakai ialah pembangunan yang organik sifatnya iaitu tidak membabitkan orang luar membeli tanah penduduk Kampung Baru tetapi hak kepada pembabitan tuan tanah, " katanya pada sidang media selepas melancarkan laluan kelapan perkhidmatan bas percuma GOKL, di sini hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan perangkaan pendekatan pembangunan yang baru untuk tempoh 20 tahun akan datang sebagaimana yang ditetapkan di dalam Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru 2040.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini mahu membangunkan semula Kampung Baru membabitkan pengambilan tanah dari lebih 5,300 pemilik dengan harga RM1,000 untuk satu kaki persegi iaitu RM850 tunai dan RM150 saham SPV.

Pada masa sama, Annuar berkata pembangunan Kampung Baru akan dibahagikan kepada presint atau parcel membabitkan pecahan bagi setiap satu hektar, sekali gus membolehkan pelaksanaannya dibahagikan kepada grid tertentu atau blok lebih kecil.

"Blok yang boleh dibangunkan dulu akan diteruskan dulu, malah kita sudah kenal pasti tujuh blok yang boleh dibangunkan segera antaranya di kawasan bersebelahan Masjid Kampung Baru dan padang berdekatan Syed Mahadi.

"Kita juga akan menjemput syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan amanah kerajaan untuk menyertai dalam pembangunan di setiap blok dengan menjadikan kawasan Kampung Baru sebagai kawasan pembangunan khas, " katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, pihaknya mengenal pasti 178 kawasan kemiskinan bandar di ibu kota ini yang memerlukan pembangunan jaringan keselamatan sosial yang lebih berkesan dan rangka ke arah usaha itu sudah siap dibentuk.

Beliau berkata, melaluinya, kerajaan melaksanakan program Mybus, Mymedik dan Mygrocery bagi membantu penduduk miskim khususnya di perumahan awam, projek perumahan rakyat (PPR) dan kawasan kampung tradisi.

"Melalui Mybus kita memberikan perkhidmatan bas percuma kepada murid miskin yang ingin pergi ke sekolah, Mymedik pula mmeberikan rawatan percuma ke rumah mereka dan Mygrocery menawarkan barang keperluan harian pada harga berpatutan, " katanya.