--> Skip to main content

'SPRM kena hubungi MOF, saya tiada butiran 101 projek itu'

BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, memaklumkan belum dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia susulan dakwaan Guan Eng meluluskan pemberian 101 projek atau perolehan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pada sidang media di parlimen, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, sehingga kini SPRM belum menghubunginya dan meminta beliau memberikan keterangan berhubung perkara itu.

Katanya, sekiranya dipanggil, beliau tidak mempunyai senarai penuh projek yang didakwa berkenaan kerana bukan lagi menjadi menteri.

"SPRM kena hubungi Kementerian Kewangan dulu kerana hanya mereka sahaja ada senarai penuh (projek), bukannya saya kerana saya bukan lagi Menteri Kewangan.

"Saya tidak mempunyai butiran lanjut mengenai 101 projek yang dikatakan diberikan secara rundingan terus oleh MOF (Kementerian Kewangan) ketika era PH memerintah," katanya.

Terdahulu media melaporkan SPRM akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan yang dikatakan diberikan secara rundingan terus semasa pemerintahan kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH).

SPRM dalam kenyataan semalam turut mengesahkan sudah menerima banyak memorandum daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhubung isu pemberian 101 projek atau perolehan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.