--> Skip to main content

Kementerian Pertahanan tak kenakan denda lewat serah kapal peronda - Audit

PUTRAJAYA: Kementerian Pertahanan didapati tidak mengenakan denda lewat sejumlah RM116.54 juta terhadap syarikat pembekal ekoran kelewatan penyerahan satu Kapal Peronda Generasi Kedua (Littoral Combatant Ship) bagi perolehan tahun 2013.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 mendapati jumlah itu bagi kelewatan selama 245 hari dari tarikh sepatutnya diserahkan, iaitu 31 Disember 2019 sehingga pengauditan dilakukan.

Bagaimanapun, laporan sama menyebut, setakat 10 Jun lalu, tempoh kelewatan sudah mencecah 435 hari dengan nilai denda berjumlah RM217.50 juta.

Pada masa sama, pengauditan yang dijalankan juga mendapati bayaran kemajuan yang dibuat terhadap kapal LCS 1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus.

"Perolehan enam kapal LCS diberi kelulusan Kementerian Kewangan untuk dilaksanakan secara rundingan terus dengan nilai kontrak berjumlah RM9 bilion. Tempoh kontrak bermula pada 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023.

"Tujuan perolehan ini bagi meningkatkan keupayaan Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM) bagi melaksanakan pelbagai operasi. Pada 2018, sejumlah RM762.68 juta atau 59.7 peratus daripada perbelanjaan pembangunan berjumlah RM1.278 bilion telah dibelanjakan bagi perolehan kapal LCS.

"Peratus perbelanjaan yang rendah pada 2019 adalah disebabkan prestasi kemajuan kerja sebenar kapal LCS tidak mencapai peratus kemajuan kerja seperti ditetapkan dalam perjanjian," katanya.

Bagaimanapun, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, berkata berbeza dengan kontrak perolehan kementerian lain, kontrak Kementerian Pertahanan itu mempunyai elemen capping yang membolehkan satu tempoh lagi diberikan kepada syarikat terbabit sebelum tuntutan boleh dilaksanakan setahun kemudian.