--> Skip to main content

Kemenangan besar di Slim restu rakyat kepada kerajaan PN- Penganalisis

Tanjung Malim : Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, semalam isyarat jelas bahawa rakyat memberikan restu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), demikian pandangan penganalisis politik.

BN mengekalkan kerusi DUN itu menerusinya calonnya Mohd Zaidi Aziz dengan majoriti 10,945 undi selepas memperoleh 13,060 undi.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malam itu menewaskan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), memperoleh 2,115 undi dan bekas guru S Santharasekaran dengan hanya 276 undi, sekali gus hilang wang deposit.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Shukri Shuib, berkata rakyat jelas dapat menilai bahawa BN yang sebahagian daripada gabungan PN mampu menjaga 'periuk nasi' mereka, lebih-lebih lagi ketika negara dan dunia berdepan dengan kesan penularan wabak COVID-19.

"Undi popular yang tinggi kepada calon BN itu menunjukkan, restu rakyat kepada kerajaan dan dasar yang sedang dijalankan, termasuklah keprihatinan terhadap 'dapur rakyat', 'periuk nasi' rakyat kesan daripada COVID-19 ini.

"Dengan pelbagai dasar popular Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka jentera BN, PAS mahupun Bersatu tidak sukar untuk berkempen seterusnya memberikan kemenangan kepada calon mereka lebih-lebih lagi DUN Slim merupakan kubu kuat UMNO," katanya.

Mengenai kekalahan Amir Khusyairi, penganalisis politik itu, berkata sokongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah merit untuk seseorang calon berjaya lebih-lebih lagi selepas kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya.

Melontarkan nada sama, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib, berkata Dr Mahathir kini tidak relevan dan berpengaruh.

"Saya rasa ini adalah penolakan menyeluruh kepada Dr Mahathir setelah beliau bersama PH suatu ketika dulu telah gagal membuktikan pada rakyat janji mereka (kerajaan) dan bertambah rumit dengan Ahli Parlimen PH rata-rata tiada pengalaman mentadbir," katanya.

Selain itu, Kartini berkata, keputusan PRK itu juga jelas membuktikan bahawa Slim ternyata sukar untuk dirampas oleh mana-mana parti selain BN.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu yang menawan kerusi DUN Slim sejak 2004 dan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menang dengan majoriti 2,183 undi.

Sejumlah 15,451 atau 68.40 peratus daripada 23,094 pengundi keluar menunaikan hak mereka pada PRK itu, yang merupakan PRK ke-12 selepas PRU14 pada 2018. – BERNAMA