--> Skip to main content

Kembiri langkah tegas tangani bahaya pedofilia

Sebanyak 1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Jun 2020 mengikut Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini menunjukkan penguatkuasaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001 masih belum berjaya mencegah pelaku pedofilia daripada menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa.

Walaupun Akta 792 memperuntukkan hukuman berat kepada pesalah seksual hingga penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, hukuman berkenaan ternyata masih gagal menakutkan pesalah pedofil.

Seksyen 2 Akta Kanak-Kanak 2001 mendefinisikan kanak-kanak sebagai individu berusia di bawah 18 tahun. Berdasarkan Akta ini, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jenayah seksual terhadap kanak-kanak boleh terjadi melalui sentuhan, tanpa sentuhan dan kaedah pornografi.

Contoh pesalah pedofil terkenal ialah Richard Huckle dipercayai melakukan kesalahan seksual terhadap 200 kanak-kanak di negara ini, termasuk bayi berusia 6 bulan. Dia dijatuhkan 22 hukuman penjara seumur hidup secara serentak oleh Mahkamah Britain. Bagaimanapun, dia dibunuh ketika berada dipenjara pada Oktober 2019.

Selain itu, pakar perubatan juga percaya, walaupun pendera seksual kanak-kanak tidak semestinya seorang pedofil, mereka yang mengalami pedofilia tahap kritikal akan terdorong melakukan jenayah seks lebih berat.

Berdasarkan fakta ini, sudah tiba masa pendekatan lebih serius diambil bagi mencegah jenayah itu. Selain melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada, kempen dan seminar perlu digiatkan lagi melalui media massa, terutama televisyen dan internet.

Masih ramai mangsa kanak-kanak tidak sedar apa sedang berlaku kepada mereka. Walaupun tahu, mereka tidak tahu kepada siapa harus mengadu. Kanak-kanak dan keluarga mangsa harus diyakinkan jenayah seksual tidak harus dibiarkan dan mereka mesti melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa agar pesalah dapat dibawa ke muka pengadilan.

Pihak bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan PDRM harus meningkatkan kemahiran mengesan pesalah yang menggunakan web gelap (dark-web), Domain Name System (DNS) changer dan menyekat semua akses kepada bahan pornografi.

Malaysia boleh boleh belajar daripada United Kingdom dan Jerman yang mempunyai sistem pengesanan canggih hingga membolehkan mereka menahan seseorang yang sedang melayari atau memuat turun gambar kanak-kanak daripada internet.

Selain itu, cadangan mengemas kini Pangkalan Data Pesalah yang boleh diakses orang awam secara mudah harus diteruskan agar masyarakat dapat berhati-hati dengan pesalah pedofilia di sekeliling mereka.

Antara cadangan wajar dipertimbangkan, hukuman kaedah kembiri secara kimia yang digunakan di beberapa negara dengan pesalah disuntik menggunakan bahan kimia tertentu bagi menurunkan nafsu seksualnya dalam tempoh tertentu di bawah pengawasan pakar berkelayakan.

Penggunaan kaedah ini di beberapa negara Scandinavia membuahkan hasil dengan kadar jenayah seksual terhadap kanak-kanak semakin menurun. Undang-undang kembiri juga diluluskan di Indonesia pada 2016 yang menjatuhkan hukuman kembiri kepada pesalah pertama berusia 20 tahun pada 2019 kerana merogol sembilan kanak-kanak dalam tempoh 3 tahun. Menurut pesalah terbabit, dia lebih sanggup dihukum mati daripada dikembiri secara kimia.

Amerika Syarikat (AS) juga meluluskan undang-undang ini di beberapa negeri seperti Alabama, California, Florida dan Texas.

Alabama meluluskan hukuman kembiri sebagai antara syarat parol bagi pesalah yang melakukan kesalahan seksual kepada kanak-kanak berusia bawah 13 tahun akan disuntik dengan bahan kimia tertentu sebelum meninggalkan penjara. Tempoh hukuman akan diteruskan di bawah pengawasan hakim hingga dianggap tidak perlu.

Di California, hukuman ini dikenakan kepada pesalah berulang selepas kesalahan kedua dilakukan. Pada 2017, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun juga pernah mencadangkan hukuman sama untuk dilaksanakan di negara ini, tetapi hingga kini tiada perkembangan positif dilaporkan.

Bagaimanapun, ada menganggap kaedah kembiri sebagai zalim kepada pesalah. Namun, harus diingat derita dan trauma ditanggung mangsa kanak-kanak adalah lebih teruk berbanding hukuman diterima pesalah. Tindakan tegas perlu diambil demi memerdekakan anak kita daripada bahaya pedofilia.

Penulis adalah Pensyarah Undang-Undang, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM)