--> Skip to main content

Kematian George Floyd: Pendakwa raya tuntut hukuman berat terhadap anggota polis

WASHINGTON: Pendakwa raya berusaha mendesak hukuman berat terhadap empat anggota polis yang dituduh menyebabkan kematian seorang lelaki Afrika-Amerika, George Floyd.

Floyd, 46, penduduk Minneapolis, Minnesota maut pada Mei lalu apabila Derek Chauvin dirakam menekan leher mangsa dengan lututnya hampir sembilan minit sehingga mangsa tidak boleh bernafas.

Dokumen mahkamah yang difailkan pada Jumaat menunjukkan Pejabat Peguam Negara Minnesota akan berhujah bahawa terdapat beberapa faktor yang membimbangkan termasuk tindakan Chauvin menekan lutut di leher Floyd selama hampir sembilan minit.

Tindakan anggota polis itu disaksikan oleh orang awam termasuk beberapa kanak-kanak yang merayu supaya mangsa dilepaskan, tetapi ia berakhir dengan kematian Floyd.

"Mangsa tidak berbahaya kerana anggota polis menggari tangganya di belakang dan meniarapkan beliau di atas jalan dan Floyd dengan jelas berulang kali memberitahu kepada anggota polis bahawa dia tidak dapat bernafas," menurut dokumen mahkamah itu.

Chauvin menyalahgunakan kedudukan sebagai anggota penguat kuasa secara sewenang-wenangnya, kata pendakwa raya.

"Di sebalik pengakuan Floyd bahawa dia tidak dapat bernafas dan akan mati serta permintaan saksi untuk melepaskan Floyd dan membantunya, defendan dan defendan bersama terus menahan Floyd," menurut dokumen itu.

Tiga atau lebih suspek mengambil bahagian secara aktif dalam pembunuhan itu, kata pendakwa raya sambil mengatakan ini akan membenarkan hukuman dilaksanakan lebih panjang.

Tuduhan terhadap Chauvin termasuk pembunuhan tahap dua yang tidak disengajakan, sementara tiga bekas rakan sekerjanya, J Kueng, Thomas Lane dan Tou Thao didakwa membantu serta bersubahat dengan pembunuhan itu.

Kematian Floyd mencetuskan kejutan selepas kejadian itu dirakam dan dimuat naik di media sosial sekali gus mewujudkan gerakan besar-besaran di seluruh negara apabila penunjuk perasaan turun ke jalanan bagi mengecam perkauman serta kekejaman polis.

Wajah Floyd, bapa kepada tiga orang anak yang pekerjaan terakhirnya sebagai pengawal keselamatan menjadi simbol antiperkauman dalam mana-mana perarakan tunjuk perasaan di Minnesota.

Hukuman terhadap pembunuhan tahap dua tanpa niat dan tahap tiga selalunya dikenakan penjara sehingga 12 tahun setengah.

Dokumen mahkamah tidak menyebut berapa lama waktu tambahan yang dipohon oleh pendakwa raya jika lelaki itu disabitkan, tetapi hukuman bagi pembunuhan tahap kedua adalah penjara 40 tahun. - AFP