--> Skip to main content

Kejar dua kilometer sebelum ditahan

DUA tekong dan 10 awak-awak warga Vietnam ditahan bersama dua bot nelayan kerana menangkap ikan secara haram di perairan Pekan, semalam.

Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, kehadiran dua bot itu disedari anggota Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) jabatan berkenaan ketika melakukan rondaan pada 9.20 pagi.

"Kami terpaksa mengejar bot berkenaan sejauh dua kilometer kerana tekong cuba melarikan diri dengan memecut laju bot berkenaan.

"Bot berkenaan dipercayai berada di perairan negeri ini lebih tiga bulan lalu, dan mereka sentiasa beralih lokasi setiap hari selepas menangkap ikan dan sotong secara haram.

"Hasil tangkapan termasuk bekalan makanan dipindahkan ke bot utama yang menunggu di tengah laut," katanya selepas meninjau bot nelayan asing Vietnam yang ditahan di pangkalan CPS Jabatan Perikanan Pahang, Padang Lalang, di Kuantan, hari ini.

Abdullah berkata, nelayan asing yang menangkap ikan tanpa lesen atau permit di perairan negara ini boleh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.

Katanya, jika sabit kesalahan tekong boleh didenda RM6 juta, manakala awak-awaknya didenda RM600 ribu, dan sekiranya gagal membayar denda boleh penjara sehingga enam bulan.

Beliau berkata, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini empat bot nelayan asing sudah ditahan pihaknya berbanding lapan tahun lalu.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, bulan lalu pihaknya berjaya mendapat perintah mahkamah untuk melucutkan hak dua bot pukat tunda ganding Vietnam selepas disabitkan kesalahan di Mahkamah Majistret Pekan.

"Dua tekong masing-masing dikenakan denda RM300,000, manakala 22 awak-awak dipenjara empat bulan selepas gagal membayar denda.

"Kedua-dua bot dan semua peralatan yang dilucutkan dianggarkan bernilai RM3 juta," katanya.