--> Skip to main content

Kegiatan seludup gas bersubsidi terbongkar

SEREMBAN: Seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing ditahan, dipercayai cuba menyeludup gas cecair petroleum (LPG) bersubsidi dengan memindahkannya ke dalam tong industri di jalan Tampin-Senawang, Seremban, 18 Ogos lalu.

Ketua Seksyen Siasatan, Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shamsul Nizam Khalil, berkata suspek menggunakan modus operandi sebagai tonto dan menyamar mekanik bagi mengaburi mata pihak penguatkuasa.

"Operasi ini dilakukan pada 18 Ogos lalu pada jam 2 petang apabila sepasukan tujuh pegawai dan anggota penguatkuasa KPDNHEP Ibu Pejabat Putrajaya menyerbu sebuah stor di jalan Tampin - Senawang, Seremban.

"Stor terbabit disyaki digunakan sebagai tempat untuk memindahkan gas LPG bersubsidi ke dalam tong LPG industri," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, dalam pemeriksaan itu, pasukan KPDNHEP menemui 61 tong 50 kilogram (kg) berisi LPG untuk kegunaan industri, 90 tong (50 kg) kosong untuk kegunaan industri, 625 tong (14kg) berisi LPG dan 375 tong (14kg) kosong untuk kegunaan domestik.

"Turut disita ialah sebuah lori treler had muatan 40 tan dan lori 5 tan. Selain itu, turut ditemui peralatan seperti hos paip, alat timbang dan beberapa bungkus plastik yang dipercayai bagi kegunaan aktiviti pemindahan gas LPG." katanya.

Jumlah semua rampasan dianggarkan bernilai RM148,572.

"Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dan tiga lelaki warganegara Myanmar berusia 22 hingga 37 tahun yang berada di premis terbabit, ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Shamsul Nizam berkata, kes disiasat mengikut kesalahan, Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan aktiviti mengilang LPG tanpa lesen sah.

"Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan, apa-apa barang kawalan disimpan di mana-mana premis selain dari premis yang dilesenkan atau premis yang dibenarkan oleh pengawal," kataya.