--> Skip to main content

Kedah waspada aksi licik German

ALOR SETAR: Kedah tidak akan mengambil mudah perlawanan Liga Super berdepan PDRM FA di Stadium Kuala Lumpur Cheras esok.

Menurut pengendali Lang Merah Aidil Sharin Sahak, skuadnya tidak sesekali memandang ringan pihak lawan yang kini berkedudukan di dasar liga.

"Secara jujurnya kami bakal berdepan satu perlawanan yang tidak mudah dan sama sekali kami tidak akan pandang ringan dengan cabaran yang akan kami hadapi dengan PDRM Sabtu ini.

"Kami harus lebih berwaspada dalam mengatur gerakan mencari gol kerana PDRM juga dilihat 'kebal' apabila hanya tewas dan dibolosi dengan jumlah satu gol sahaja sewaktu menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Mac lalu.

"Saya percaya mana-mana pasukan yang berhadapan Kedah akan tampil dengan semangat tinggi lebih 100 peratus dan ini bakal memberi ancaman hebat buat kami jika kami tidak benar-benar bersedia," kata Aidil.

Menurut Aidil, penyerang licik PDRM Antonio German akan memberi ancaman terhadap benteng Kedah, aptah lagi disokong dengan keyakinan beraksi di laman sendiri.

"Kami harus tingkatkan komitmen dan turun dengan lebih bersedia bagi mengekang serangan PDRM, terutama penyerangnya Antonio German yang mampu membolosi benteng pada bila-bila masa jika barisan pertahanan kami tidak berhati-hati.

"Selain itu, PDRM juga dilihat mampu melakukan kejutan dalam situasi bola mati dan ini satu lagi ancaman yang perlu kita awasi dengan hati-hati tanpa leka," katanya.

Kedah kini menduduki tangga kelapan pada empat mata selepas empat perlawanan menerusi satu kemenangan, dua kekalahan dan satu seri.