--> Skip to main content

Kedah atasi PDRM, Selangor diikat PJ City

CHERAS: Kedah menyambung saingan Liga Super dengan menundukkan pasukan tercorot, PDRM 2-0 pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Pasukan tuan rumah jelas tidak mempunyai jawapan untuk menyekat gandingan penyerang import skuad Lang Merah, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman yang menjadi ancaman buat pasukan bimbingan Ishak Kunju itu.

Bagaimanapun, pelawat memerlukan hampir setengah jam untuk memecah kebuntuan apabila mendahului perlawanan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Kipre pada minit ke-29.

PEMAIN PDRM, Surendran Ravindran (kanan) mengasak pemain Kedah, Amin Adam Lazarte Nazari pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto BERNAMA PEMAIN PDRM, Surendran Ravindran (kanan) mengasak pemain Kedah, Amin Adam Lazarte Nazari pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto BERNAMA

Kedah terus garang apabila melebarkan jurang selepas hantaran lintang Kpah Sherman disambut Kipre untuk gol kedua pelawat pada minit ke-36.

Kekalahan ini pasti memberi tekanan buat The Cops yang ketika ini masih memburu kemenangan pertama dalam liga selepas mengharungi lima perlawanan dan lebih memburukkan keadaan, kekal di zon penyingkiran dengan mata -2.

Sementara itu di Stadium UiTM Shah Alam, impian Selangor untuk memburu mata penuh tidak kesampaian apabila diikat PJ City 0-0.

Keputusan itu menyaksikan anak buah B Satianathan terus kempunan untuk meraih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir dengan kemenangan pertama mereka hanya hadir pada aksi pertama liga menentang Pahang, Februari lalu.