--> Skip to main content

Kedah ambil tindakan segera bendung Covid-19

KEDAH mengumumkan langkah segera bagi mengekang penularan wabak Kedah ambil tindakan segera kekang Covid-19 berikutan tercetusnya kluster baharu pandemik itu di beberapa daerah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berkuat kuasa hari ini, semua masjid dan rumah ibadat di kawasan berlaku penularan Covid-19 ditutup bagi membolehkan proses sanitasi serta pengawasan lanjut dilakukan sehingga kes terbabit selesai.

Beliau berkata, turut ditutup adalah taman awam serta operasi pasar malam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dihadkan bermula 4 petang hingga 8 malam sahaja.

"Operasi peruncitan seperti kedai runcit, kedai 24 jam dan kedai serbaneka di stesen minyak hanya dibenarkan bermula 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

"Aktiviti penjualan makanan di kawasan dilanda wabak dibenarkan beroperasi melalui kaedah bawa pulang atau penghantaran dan tidak lagi dibenarkan untuk makan, minum atau melepak di kedai," katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Sehingga kini, Kedah mencatatkan empat kluster Covid-19 iaitu Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Muda dan Kluster Sala membabitkan daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim, Baling, Kuala Muda dan Yan.

Muhammad Sanusi berkata, arahan berkuat kuasa hari ini, diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Wisma Darul Aman, malam tadi.

"Mesyuarat turut memutuskan bahawa penganjuran program sosial termasuk oleh jabatan atau agensi kerajaan ditangguhkan.

"Sebarang majlis kenduri dan majlis perkahwinan perlu ditangguhkan sehingga keadaan kembali selamat," katanya.

Beliau turut memaklumkan semua acara sambutan berkaitan kemerdekaan peringkat negeri dibatalkan selain tempat awam yang menjadi tempat untuk sambutan kemerdekaan ditutup mulai 28 Ogos ini.

Semalam, NSTP melaporkan Kedah tidak bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di seluruh negeri, sebaliknya hanya dilaksana di kawasan dikenal pasti terjejas Covid-19 saja.