--> Skip to main content

KDN tubuh jawatankuasa siasat ketirisan perbelanjaan

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat ketirisan perbelanjaan membabitkan dua agensi di bawah kendaliannya seperti Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dibentangkan semalam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah langkah biasa diambil oleh setiap kementerian.

"Kita akan ambil maklumat dan tubuhkan jawatankuasa untuk melihat kenapa berlaku (ketirisan).

"Bukan sahaja Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi mana-mana agensi di bawah KDN yang menerima laporan audit yang melanggar peraturan, Ketua Setiausaha (KSU) akan ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Penjara Penjara Malaysia di Kajang, hari ini.

Terdahulu, Hamzah menghadiri Majlis Sambutan Hari Penjara ke-230 dan melakukan lawatan di Rawatan Pemulihan Dadah (RPD) di Kompleks Penjara Kajang.

Semalam, LKAN mengesan terdapat unsur penentuan harga dalam kalangan pembekal dalam perolehan membabitkan Penjara Kluang.

Selain itu, PDRM turut dikesan terlebih bayar penyelenggaraan bulanan helikopter sebanyak RM105,875 bagi tempoh 19 bulan walaupun ia sudah tidak aktif melebihi tempoh enam bulan.

PDRM juga didapati membayar RM2.7 juta untuk penukaran alat ganti fotografi melebihi had siling yang ditetapkan iaitu RM209,964.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dilaporkan berkata, penukaran alat fotografi yang digunakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (D6) itu melebihi RM2.49 juta daripada had yang ditetapkan.