--> Skip to main content

Kayuhan merdeka rentas 10 negeri

PROGRAM Jelajah Pusat Sukan Tumpuan (PST) Berbasikal Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Tuah Merdeka 2020 menyemarakkan lagi semangat patriotisme dengan kibaran Jalur Gemilang sejauh 1,198 kilometer (km).

Program anjuran KPT itu mendapat kerjasama PST Berbasikal Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan sokongan rakan sukan Let's Play Performance.

Kayuhan merentasi 10 negeri sempena Hari Kebangsaan ke-63 siri ketiga itu membabitkan tujuh atlet UTeM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Seremban serta Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam (PSA).

Pengarah program, Mohd Fairuz Azwad Mohd Zauwawi berkata, kayuhan itu bermula pada 16 Ogos di UTeM dan berakhir di lokasi sama, 25 Ogos lalu.

"Kayuhan lapan hari itu menjadikan enam universiti sebagai hentian sementara termasuk UteM, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Sebagai simbolik Hari Kebangsaan, Jalur Gemilang dikibarkan sepanjang perjalanan dan diserahkan di setiap enam lokasi hentian sementara itu.

"Acara berbasikal ini diadakan sebagai persediaan atlet bagi menghadapi perlumbaan di peringkat dalaman dan antarabangsa," katanya.