--> Skip to main content

Kayuhan hargai kemerdekaan

BAGI menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, 122 peserta melakukan kayuhan cabaran sejauh 25 kilometer dengan mengibarkan Jalur Gemilang dari Ladang Serasa ke Kampung Kuala Sungai, Bertam di Gua Musang.

Program Kayuhan Merdeka anjuran Kelab Berbasikal Galas (GCC) itu mengambil masa dua jam dan peserta perlu melalui hutan dan bukit untuk sampai ke destinasi.

Presiden GCC, Ab Aziz Aziz, berkata kayuhan itu bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan antara penduduk bandar dengan warga luar bandar.

Menurutnya, menerusi program itu juga mereka mengambil kesempatan untuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk golongan asnaf dan beramah mesra dengan rakyat.

"Kemerdekaan negara yang disambut 31 Ogos setiap tahun perlu dihayati semua rakyat termasuk penduduk di kampung pedalaman.

"Pejuang dahulu merasai kepahitan dan kesusahan bagi mencapai kemerdekaan ketika dalam penjajahan. Oleh itu, kita yang mewarisi negara ini hendaklah menjaga keamanan yang ada dan kibarlah Jalur Gemilang setiap kali sambutan Hari Kebangsaan," katanya.

Perasmian penutup program yang julung kali diadakan itu dilakukan Pengerusi Jawatankuasan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat.